Wednesday, April 16, 2008



Perbalahan Malaikat Rahmat Dan Malaikat Azab



"Pada zaman dulu, ada seorang lelaki yang telah
membunuh 99 orang. Dia ingin menjumpai pendita untuk
meminta fatwa supaya dia dapat bertaubat dari dosanya.
Sebaik saja berjumpa, dia pun menerangkan bahawa dia
telah membunuh 99 orang dan bertanya sama ada dia
masih ada peluang untuk bertaubat. Pendita dengan
tegas mengatakan dia tidak boleh bertaubat kerana
dosanya terlalu banyak.

Lelaki itu mejadi marah dan terus membunuh pendita
itu, menjadikannya mangsa yang ke-100.

Dia masih ingin untuk bertaubat dan terus mencari
kalau-kalau ada ulama yang boleh membantunya. Akhirnya
dia berjumpa dengan seorang ulama. Dia menceritakan
bahawa dia telah membunuh 100 orang dan bertanya sama
ada Allah masih menerima taubatnya. Ulama itu
menerangkan dia masih ada harapan untuk bertaubat.
Seterusnya dia menyuruh lelaki itu pergi ke sebuah
negeri di mana terdapat sekumpulan abid (orang
beribadat). Apabila sampai di sana nanti, ulama itu
menyuruhnya tinggal di sana dan beribadat bersama
mereka. Ulama itu melarangnya pulang ke negeri asalnya
yang penuh dengan maksiat.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih lalu terus
menghala ke negeri yang diterangkan oleh ulama tadi.
Sebaik saja sampai separuh perjalanan, dia jatuh sakit
lalu meninggal dunia.

Ketika itu terjadilah perbalahan antara dua malaikat,
iaitu Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat
Rahmat ingin mengambil roh lelaki itu kerana pada
pendapatnya dia adalah orang baik lantaran azamnya
untuk bertaubat sementara Malaikat Azab mengatakan dia
mati dalam su'ul-khatimah kerana dia telah membunuh
100 orang dan masih belum membuat sebarang kebajikan.
Mereka saling berebutan dan tidak dapat memutuskan
keadaan lelaki itu.

Allah kemudian menghantar seorang malaikat lain berupa
manusia untuk mengadili perbalahan mereka berdua. Dia
menyuruh malaikat itu mengukur jarak tempat kejadian
itu dengan kedua-dua tempat; adakah tempat kejadian
itu lebih dekat dengan tempat kebajikan yang hendak
dituju atau lebih dekat dengan tempat dia mula
bertolak. Sekiranya jaraknya lebih dekat dengan tempat
kebajikan, dia kepunyaan Malaikat Rahmat. Setelah
diukur, didapati jarak ke negeri kebajikan melebihi
kadar sejengkal saja. Lalu roh lelaki itu terus
diambil oleh Malaikat Rahmat. Lelaki itu akhirnya
mendapat pengampunan Allah.

Moral & Iktibar

# Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.
# Orang yang berbuat dosa hendaklah diiringi dengan
penyesalan dan taubat.
# Jangan merasa putus asa dari rahmat Allah meskipun
telah melakukan dosa yang sangat banyak kerana rahmat
Allah sangat luas dan lebih besar daripada dosa besar
yang kita lakukan.
# Menjalankan amar makruf dan nahi mungkar hendaklah
dengan hikmah dan bijaksana.
# Fatwa yang salah dan tidak berlandaskan hukum
sebenar hanya menyusahkan diri sendiri.
# Pelepasan dari azab diperolehi hanya dengan
berlebihnya timbangan kebajikan meskipun dengar kadar
yang sedikit.
# Orang yang hendak bertaubat mesti buktikan
penyesalan dengan tindak-ikut yang sewajarnya.
# Orang yang bertaubat dengan sungguh-sungguh
penyesalan dan berikrar tidak mengulangi kejahatannya
akan diterima oleh Allah taubatnya.
# Mereka yang diterima oleh Allah akan taubatnya
seolah-olah tidak mempunyai sebarang dosa.
# Mereka yang sempat bertaubat 'nasuha' sebelum roh
sampai ke halqum dimasukkan ke dalam syurga. "

No comments :

Post a Comment