Wednesday, April 16, 2008



Virus MyDoom bentuk emel lucu rosakkan komputer


LONDON: Pakar keselamatan komputer semalam memberi amaran kemunculan versi terbaru virus komputer MyDoom dalam bentuk lampiran emel gambar lucu yang bukan setakat merosakkan komputer, tetapi membolehkan golongan hackers atau penceroboh mencuri maklumat tanpa disedari pengguna.

Sebuah media teknologi Britain, Webuser melaporkan, versi dikenali MyDoom.S itu tersebar menerusi emel dengan tajuk ‘foto’ serta mesej ‘LOL! ;))))’ dengan lampiran ‘PHOTOS_ARC.EXE’.

Sebaik saja dibuka pengguna, cecacing itu bertindak mencari alamat emel lain selain merosakkan fail sistem operasi Windows.

Pakar runding kanan teknologi firma keselamatan Sophos, Graham Cluley berkata, komputer yang diserang virus itu juga membolehkan penceroboh memasuki komputer berkenaan dan menyalahgunakan maklumat sulit pengguna tanpa disedari individu berkenaan.

“Selepas mencuba beberapa teknik sebelum ini, pencipta versi terbaru MyDoom itu kini mensasarkan minat pengguna yang sememangnya gemarkan cerita atau gambar lucu.

“Virus MyDoom.S itu memperalatkan tabiat kita yang suka membuka kandungan lucu secara melulu tanpa memeriksa siapa pengirim atau asalnya emel berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Sophos mencadangkan pengguna melindungi emel dan komputer dengan program antivirus yang bersesuaian.

“Ini termasuk tidak membuka lampiran emel yang tidak dikenali selain suka menerima atau mengedarkan fail bahan lucu termasuk gambar dan imej skrin,” katanya.

Akhir bulan lalu, versi lain Mydoom menyerang dan melumpuhkan seketika empat enjin carian utama internet iaitu AltaVista, Google, Lycos dan Yahoo yang menjejaskan operasi perkhidmatan itu.

Ia turut menghalang beratus-ratus ribu komputer lain yang gagal menerima sebarang balasan apabila memasuki enjin carian terbabit selain menyebabkan ramai yang lain terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan maklumat yang diingini.

Pusat SANS Internet Storm berkata, cecacing yang tersebar dengan meluas menerusi emel, menyerang enjin carian maklumat itu dalam usahanya mendapatkan lebih banyak alamat bagi menyebarkan serangannya itu.

Ia bertindak memasuki kotak emel pengguna dan menjadikan enjin carian tempat mendapatkan lebih ramai mangsa yang menerima mesej itu. – Agensi
Petikan Berita Harian 17 August 04.

No comments :

Post a Comment