KUALA LUMPUR 17 April - "Segala pujian bagi Allah, Alhamdulillah kerana mengasihani dan terlalu baik bagi saya. Saya menunggu selama 20 tahun dan doa saya telah termakbul," kata Tun Salleh Abas.
Menurutnya, beliau tahu tidak akan dapat mencapai kemenangan secara perundangan dahulu tetapi doanya telah termakbul apabila diberi kejayaan dari segi moral.
"Malam ini semua boleh menyatakan bahawa kejayaan moral telah diberikan kepada saya," katanya di sini malam ini.
Salleh adalah bekas Ketua Hakim Negara yang dipecat pada 8 Ogos 1988 bersama-sama dua bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.
Tiga lagi yang terbabit dalam krisis berkenaan tetapi tidak dipecat ialah Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.
Sementara itu, Azmi pula berkata, beliau telah menunggu ucapan seperti yang dibuat Abdullah malam ini selama 20 tahun dan merasa bertuah kerana masih hidup untuk mendengar pengumuman Perdana Menteri.
Beliau berkata, apa yang dicakapkan oleh Abdullah adalah amat tepat untuk Malaysia maju ke hadapan.
"Di bawah konsep pemisahan kuasa, kuasa kehakiman selalu tertinggal di belakang. Parlimen bagus semasa buat undang-undang, Kabinet juga okey tetapi kehakiman tertinggal ke belakang," katanya.
Mengenai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, beliau berkata, ia adalah cadangan yang bagus tetapi perlu melihat siapa yang menganggotai suruhanjaya tersebut.
"Kalau orang bagus Alhamdulillah, tapi kalau orang yang bermuka-muka, jika dia ada hal (niat) lain, susah. Pemilihan amat penting kerana kita kena pilih orang yang kita percaya," ujar beliau.
Basil, anak kepada George Seah yang tidak hadir malam ini kerana masalah kesihatan berkata, beliau masih berharap kerajaan akan meminta maaf kepada keluarganya.
''Pilihan pertama saya ialah permintaan maaf oleh kerajaan. Begitu juga harapan bapa saya. Tapi saya menerima apa yang diumumkan oleh kerajaan.
''Saya tidak tahu apa reaksi bapa saya mengenai pengumuman ini. Mungkin tiada reaksi atau mungkin beliau sedih. Saya tidak tahu sehinggalah saya memberitahu perkara ini kepada beliau esok," katanya.
Anak Wan Suleiman, Wan Noor Azli, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan tetapi menerimanya dengan hati yang berat.
''Apa yang kami mahu kes ini dibuka kembali dan dinilai semula apa kesilapan dan apa yang berlaku pada masa itu.
''Kenapa tribunal mendapati ayah saya bersalah tetapi sekarang selepas 20 tahun kata tidak bersalah pula," ujarnya.
No comments :
Post a Comment