
AJARAN SESAT : Manifestasi Kecelaruan Aqidah Umat
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa
Abdul Rahman mengatakan bahawa 24 kumpulan ajaran
sesat masih bergerak diseluruh negara. Ia adalah baki
daripada 124 kumpulan yang telah dikenalpasti yang
mana 100 daripadanya telah berjaya dihapuskan. Beliau
menyebut bahawa 24 kumpulan terbabit dikesan masih
aktif dan beroperasi di sekitar Lembah Klang.
Antaranya ialah kumpulan Tarikat Muhammadiah,
Al-Arqam, Ajaran Haji Kahar, Ajaran Qadiani dan
Ahmadiah [BH 21/5/05].
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri juga dilaporkan
telah mengesan satu kumpulan militan seperti Kumpulan
Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) sedang
bergerak cergas di negara ini. Timbalan Menterinya,
Datuk Noh Omar berkata setakat ini anggota kumpulan
itu telah dikenal pasti, sedang diperhati dan diteliti
sama ada perlu dikenakan ISA (Akta Keselamatan Dalam
Negeri) atau tidak. Sementara itu, pihak polis
dilaporkan akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama negeri bagi
memantau kegiatan kumpulan Al-Arqam yang dilapor
antara 24 kumpulan ajaran sesat yang bergerak aktif di
negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Dr Abdullah Md Zin berkata, kegiatan kumpulan ajaran
sesat di negara ini adalah terkawal. Katanya, yang
masih aktif sekarang hanyalah kelompok kecil dan jika
ada yang paling besar pun, mungkin kumpulan Ayah Pin
di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu [BH
21/5/05]. Datuk Noh Omar, kemudiannya menafikan
kenyataan akhbar diatas yang menyebut kenyataannya
bahawa kumpulan tersebut ada kaitan dengan aktiviti
militan atau pengganas. Beliau menegaskan bahawa
kumpulan tersebut berasaskan agama dan ia dipantau
kerana ajarannya boleh memesongkan akidah umat Islam
dan jika dibiarkan ia boleh menjejaskan perpaduan
ummah. “Sebab itu kita mengkaji sama ada sesuai atau
tidak jika kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) untuk melenyapkan pengaruh kumpulan
berkenaan,” katanya lagi [BH 23/5/05].
Sautun Nahdhah ingin mengajak para pembaca yang
budiman untuk menelurusi dan menjelaskan pandangan
berkaitan melabelkan sesuatu gerakan itu membawa
ajaran sesat atau tidak. Untuk tujuan ini, kita
perlulah mengunakan prosedur tertentu yang hanya
didasarkan kepada pemikiran Islam yang bersumberkan
Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Syariah Islam akan
memastikan bahawa sebarang keputusan yang dibuat tidak
dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan atau motif
tertentu. Penentuan sesat keatas seseorang atau
sesebuah gerakan perlulah dilihat berdasarkan aspek
aqidah semata-mata dan tidak dipengaruhi, seperti yang
disebutkan, oleh motif-motif dan kepentingan tertentu.
AQIDAH DAN HUKUM SYARA’
Aqidah adalah pemikiran yang menyeluruh tentang
manusia, alam dan kehidupan, hubungan di antara
ketiga-tiga unsur ini dengan apa yang datang sebelum
dan selepas kehidupan. Dari aqidah akan muncul
berbagai peraturan, undang-undang, norma dan tata
nilai masyarakat. Aqidah juga menentukan arah pandang,
cita-cita dan tujuan yang dianut oleh para pemeluknya,
diyakini kebenarannya, diperjuang dan dipertahankan.
Aqidah seseorang adalah asas kepada segala-galanya. Ia
merupakan asas berfikir dan asas bertindak seseorang.
Salah atau rosak aqidah, maka rosaklah pemikiran dan
tingkah lakunya dan rosaklah individu tersebut. Jika
dinisbahkan kepada sebuah bangunan aqidah merupakan
bahagian asas kepada struktur bangunan. Apabila asas
kepada struktur bangunan itu rosak, ia boleh
menyebabkan bangunan retak atau membawa kepada
runtuhnya keseluruhan bangunan. Oleh yang demikian
aqidah merupakan bahagian yang terpenting dari
pemikiran seseorang kerana aqidah adalah asas
pemikiran (usul) dan yang lainnya adalah pemikiran
cabang (furu’) yang muncul dari asas tadi.
Aqidah menurut bahasa adalah sesuatu yang diikat
didalam hati, iaitu sesuatu yang diyakini. Sesuatu
yang diyakini adalah sesuatu yang diputuskan atau
dibenarkan secara pasti - tashdiqul jazim. Ia akan
membawa kepada pembenaran atau pendustaan terhadap
sesuatu informasi. Perkara-perkara yang termasuk
didalam aqidah adalah seluruh perkara yang ghaib
seperti iman kepada Allah, para malaikatNya, kitabNya,
para rasulNya, hari Kiamat serta qadha dan qadar baik
dan buruknya dari Allah SWT. Termasuk di dalam aqidah
adalah semua perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau
oleh aqal seperti syaitan, syurga dan neraka. Perkara
aqidah mesti diambil berdasarkan tashdiqul jazim
(pembenaran yang bersifat pasti) bukan secara dzanni
(dugaan kuat) atau sangkaan sahaja kerana Allah
menegaskan di dalam Al-Quran dengan firmanNya:
“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali
persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak
sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.”
(TMQ Yunus:36)
“Dan jika mereka menuruti kebanyakan orang-orang yang
di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu
dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti
persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah
berdusta(terhadap Allah).” (TMQ Al-An’am:116)
Manakala hukum syarak adalah khitab as-Syari’ (seruan
pembuat syariat) berkenaan dengan perbuatan hamba.
Misalnya ijarah (kontrak upah), bay’ (jual beli),
riba, nikah, solat, iqamatul khilafah (menegakkan
khilafah), larangan mengumpat, ghanimah, fai’, bay’ah
dan jihad termasuk didalam hukum syarak.
PIAWAIAN ISLAM DALAM PENETAPAN AQIDAH
Aqidah adalah seluruh pemikiran yang dibenarkan (mesti
sampai kepada peringkat tashdiqul jazim) sementara
hukum syarak adalah seruan Allah yang berkenaan dengan
perbuatan manusia yang bertujuan untuk menyelesaikan
seluruh permasalahan manusia (pemerintahan,
penghukuman, sistem sosial, pendidikan dan ekonomi)
[Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Nizhamul Islam,
Al-Quds, 1953]. Dalam mengambil perkara-perkara hukum
syara’ adalah memadai dengan pengambilan secara
ghalabatuz dzanni (dugaan kuat) dan tidak perlu
sampai kepada peringkat yakin. Misalnya dua rakaat
solat subuh dilihat dari aspek perlaksanaan solatnya
adalah hukum syarak. Sedangkan pembenaran bahawa hukum
dua rakaat solat subuh adalah dari Allah merupakan
aspek aqidah. Ingkar dalam melaksanakan solat subuh
dua rakaat akan merosakkan solat sama seperti
meninggalkan solat dan ia adalah maksiat (derhaka)
kepada Allah yang membawa kepada pelakunya mendapat
dosa. Ingkar untuk membenarkan kaifiyat solat subuh
dua rakaat adalah dari Allah akan merosakkan aqidah
yang membawa kepada pelakunya dianggap kafir kerana
hukum tersebut adalah berdasarkan kepada riwayat yang
mutawatir dan jelas maknanya. Riwayat mutawatir akan
menutup kemungkinan bahawa berita yang dibawa adalah
salah kerana ia dibawa oleh banyak jalur perawi (lima
jalur berlainan sebagai contoh) yang membawa kepada
keadaan qat’i tsubut (kepastian datangnya berita).
Kejelasan makna akan menutup kebarangkalian ia membawa
lebih dari satu makna dan ini membawa kepada keadaan
qat’i dilalah (kepastian makna). Apabila makna dan
cara datang berita bersifat pasti ia akan menerbitkan
tashdiqul jazim (pembenaran yang pasti) – dan ini
adalah bahagian dari aqidah.
Solat dua rakaat solat sebelum maghrib adalah termasuk
ibadat sunat (dianjurkan); ia termasuk hukum syara’
yang tidak berdosa jika ditinggalkan. Pengingkaran
terhadap hukum solat tersebut tidak dianggap kafir
kerana hukum itu ditetapkan berdasarkan dalil dzanni -
bukan hadis mutawatir. Hukuman potong tangan terhadap
pencuri adalah hukum syara’ yang wajib dilakukan,
meninggalkannya adalah berdosa dan mempercayai bahawa
ia datang dari Allah adalah termasuk aqidah kerana
hukum ini termasuk tashdiqul jazim - ia ditetapkan
secara qat’i tsubut dan qat’i dilalah. Pengharaman
riba adalah hukum syara’, mengambilnya adalah haram
dan berdosa dan mempercayai bahawa ia datang dari
Allah adalah termasuk aqidah kerana penetapan hukum
ini juga termasuk tashdiqul jazim. Inilah perbezaan
diantara aspek aqidah dan aspek hukum syara’.
Aqidah adalah keimanan, dan keimanan menuntut adanya
pembenaran yang bersifat pasti (tashdiqul jazim).
Hukum syara’ adalah khitab as-Syari’ (seruan Allah)
yang berkaitan dengan perbuatan hamba. Pengambilan
hukumnya boleh qat’i atau ghalabatuz dzann (dugaan
kuat yang tidak sampai kepada yakin atau pasti).
Menolak hukum syara’ yang qat’i adalah termasuk
perkara aqidah dan boleh menjadikan seseorang itu
kafir atau sesat tetapi menolak hukum syara’ yang
dzanni bukanlah termasuk didalam masalah aqidah dan
tidak membawa kepada kekafiran atau kesesatan secara
langsung.
Piawai ini boleh diaplikasikan kepada satu contoh yang
biasa kita dengarkan. Ada pendapat yang diketengahkan
oleh golongan tertentu yang menyatakan bahawa
sembahyang hanya perlu ditunaikan dengan niat. Mereka
menggunakan dalil:
“Sesungguhnya amal-amal itu dengan niat. Dan setiap
orang dinilai dari niatnya”
[HR Bukhari, Muslim]
Hadis ini menerangkan bahawa setiap amalan itu dinilai
dengan niatnya dan didalam ibadat niat itu termasuk
rukun. Untuk melihat samada pendapat ini benar atau
tidak, perlu diperhatikan hukum berkaitan dengan
solat. Kewajipan solat telah ditegaskan oleh Allah di
dalam firmanNya:
“…maka dirikanlah solat kerana solat itu adalah
ketetapan ke atas orang-orang beriman”
[TMQ An-Nisaa: 103]
Para fuqahaa telah bersepakat bahawa makna ayat ini
menunjukkan wajibnya mendirikan solat. Kaifiyat
mendirikan solat pula telah diterangkan oleh hadis
“Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” dan
hadis-hadis lain yang menerangkan bahawa solat itu
adalah meliputi gerakan anggota badan dimulai dengan
takbir dan disudahi dengan salam. Pendapat yang
mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan niat
adalah jelas bertentangan dengan hadis mutawatir
mengenai perlakuan Rasulullah SAW dalam menerangkan
kaifiyat menunaikan perintah solat. Atas alasan ini,
mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa solat
boleh dilakukan hanya dengan niat telah menolak hukum
yang bersifat qat’i dan boleh rosak aqidahnya. Oleh
sebab itu, perlulah diluruskan semula aqidah mereka
agar kembali kepada aqidah Islam yang sebenarnya.
Penerangan di atas adalah merupakan prosedur syariah
dalam menentukan, termasuk menangani perkara-perkara
yang terkait dengan masalah aqidah dan hukum syara’.
Penentuan samada telah berlaku kesalahan dalam kedua
aspek ini perlulah terikat kepada prosedur dan
piawaian yang tetap ini.
Piawaian Pragmatisme yang keliru
Ada golongan atau aliran yang tidak mempunyai piawaian
dalam membuat keputusan; secara umumnya mereka ini
dikenali sebagai golongan atau aliran pragmatisme.
Pragmatisme berasal dari bahasa Yunani iaitu pragma
berarti perbuatan (action) atau tindakan (practice)
dan Isme berarti ajaran, aliran atau fahaman. Dengan
demikian, pragmatisme berarti ajaran/fahaman yang
menekankan bahawa pemikiran itu berjalan mengikut
tindakan. Didalam Kamus Oxford, sifat pragmatik adalah
suatu sifat yang berjalan sesuai menurut kewajaran
atau suasana realistik ketika itu – ia diasaskan
kepada suasana praktikal dan tidak didasarkan kepada
pertimbangan teoretis. Ini berarti, bagi seseorang
yang pragmatik, kebenaraan atau nilai suatu ajaran
(fahaman / doktrin) bergantung hanya kepada
penerapannya samada sesuai dengan kepentingan manusia
ketika itu atau tidak. Pragmatisme memandang bahwa
kriteria kebenaran ajaran adalah berdasarkan faedah
atau manfaat. Suatu teori atau hipotesis dianggap oleh
mereka yang pragmatik sebagai benar jika ia membawa
kepada suatu hasil yang mendatangkan manfaat. Dengan
kata lain, suatu teori itu benar hanya jika ia
berfungsi (mendatangkan manfaat) selepas ia
dilaksanakan.
Gerakan Pragmatisme, secara falsafah, mula dirintis di
Amerika oleh Charles S. Pierce (1839-1942) yang
kemudiannya dikembangkan oleh William James
(1842-1910) dan John Dewey (1859-1952).
Walaubagaimanapun, dari segi sejarah, ia telahpun
muncul sejak zaman Renaissance, iaitu ketika terjadi
pertembungan diantara gereja dan kaum intelektual di
Eropah. Pertentangan ini akhirnya menghasilkan suatu
kompromi - pemisahan agama dari kehidupan
(sekularisme), sebagai asas kepada ideologi
kapitalisme. Pragmatisme merupakan pemikiran cabang
kapitalisme. Landasan pemikirannya pun sama, yakni
pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme). Dari
konteks ideologi, pragmatisme berarti menolak agama
sebagai sumber ilmu pengetahuan dan sumber penyelesai
masalah manusia.
Kebenaran, menurut James didalam bukunya, The Meaning
of Truth, adalah sesuatu yang terjadi pada idea, yang
sifatnya tidak pasti. Sebelum seseorang menemukan satu
teori berfungsi maka kebenaran teori itu tidak akan
diketahui. Kebenaran, bagi golongan pragmatis ini akan
selalu berubah sejalan dengan perkembangan pengalaman.
Sebab, sesuatu yang dikatakan benar akan dapat
perbetul dan diperbaiki oleh pengalaman berikutnya.
Oleh karena itu, fahaman pragmatisme ini tidak
mengenal adanya kebenaran yang mutlak. Kebenaran hanya
ditentukan oleh manfaat.
Idea pragmatisme ini keliru atas tiga sebab. Pertama,
pragmatisme mencampuradukkan kriteria kebenaran idea
dan kegunaan praktikalnya. Sedangkan kegunaan
praktikal idea tidak menunjukkan kebenaran idea,
tetapi hanya menunjukkan samada perlaksanaan idea ini
memuaskan keperluan pelakunya atau tidak.
Kedua, pragmatisme menafikan peranan akal manusia.
Menetapkan kebenaran suatu idea adalah aktiviti
intelektual dengan menggunakan ukuran atau piawaian
tertentu - sedangkan kepuasan manusia dalam pemenuhan
keperluannya tidak boleh menjadi ukuran kebenaran idea
tersebut.
Ketiga, pragmatisme menimbulkan relativiti dan
kenisbian kebenaran sesuai dengan perubahan subjek
penilai idea - baik individu, kelompok, mahupun
masyarakat - serta perubahan konteks waktu dan tempat.
Dengan kata lain, kebenaran hakiki pragmatisme hanya
dapat dibuktikan - menurut pragmatisme itu sendiri -
setelah melalui pengujian kepada seluruh manusia dalam
seluruh waktu dan tempat, menjadikan alam ini sebagai
makmal gergasi untuk melakukan ujian tersebut. Ini
jelas mustahil dan tidak akan pernah terjadi.
Pragmatisme jika digunakan oleh sesuatu kelompok dari
masyarakat untuk membuat keputusan bagi masyarakat
keseluruhannya akan membuatkan keputusannya condong
atau bias kepada kepentingan kelompoknya sendiri dan
ini akan menyengsarakan orang lain. Oleh itu,
pragmatisme tidak boleh digunakan untuk menilai
seseorang atau sesuatu kelompok itu salah atau sesat.
Umat Islam hari ini perlu menggunakan piawaian yang
betul, seperti yang telah dijelaskan diawal makalah
ini ketika menilai kesesatan seseorang atau suatu
kelompok manusia. Mengatakan seseorang atau sesuatu
kelompok itu sesat sedangkan piawaian yang digunakan
didalam membuat keputusan ini tidak selaras dengan
piawaian Islam membawa akibat yang amat buruk.
Menentukan aqidah adalah isu yang bersangkutan dengan
dengan wahyu Allah - maka menjatuhkan hukum sesat
hendaklah didasari dengan wahyu Illahi bersumber
Al-Quran dan Hadis. Janganlah pula ada sandaran
politik atau kepentingan tertentu ketika menghukum
sesuatu gerakan itu tersesat atau terpesong aqidahnya.
Khatimah
Dari huraian di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk
menghukum sesuatu golongan itu sesat, perlulah
mengikuti kaedah-kaedah yang ditunjukkan oleh Islam
seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama’
mu’tabar Islam yang ikhlas. Kita mestilah mengikuti
prosedur dan piawaian syariah dalam membuat keputusan
ini dan janganlah sampai kita terjebak melakukan
kesalahan dalam penuduhan atas sebab-sebab politik.
Janganlah kita terlalu cepat menuduh orang lain sesat
hanya kerana ia berpegang kepada fahaman politik yang
berlainan atau kita mengambil keputusan berdasarkan
hawa nafsu kita - kecuali apabila telah jelas
kesesatan mereka, berdasarkan prosedur dan piawaian
Islam yang benar.
Wahai kaum muslimin,
Perteguhkanlah diri anda dengan pemahaman Islam yang
secukupnya supaya jelas bagi anda bahawa hukum syara’
yang anda ikuti adalah hukum yang benar-benar dari
Islam. Perkara-perkara yang anda yakini atau imani
juga mestilah yang sampai kepada peringkat yakin atau
tashdiqul jazim. Berwaspadalah dari terjebak kedalam
kancah ajaran-ajaran sesat kerana ianya boleh
menjerumuskan kita kepada kekufuran dan menyumbatkan
pelakunya ke dalam neraka - na’uzubillahi min zalik
(semoga kita dijauhkan darinya). Kita juga mestilah
berwaspada terhadap label-label ajaran sesat yang
dilontarkan kepada golongan-golongan tertentu atas
pengaruh politik dan terkait dengan pemikiran
pragmatik.
Marilah kita berdoa dan terus berusaha agar Daulah
Khilafah Islamiyah akan berdiri dan menerapkan hukum
syara’ yang benar secara kaffah, menjaga aqidah kita
dari kesesatan dan berhukum hanya menurut piawaian
syara’. Khilafah juga akan menasihati individu atau
kelompok tertentu yang sesat untuk kembali kepada
ajaran Islam yang lurus dengan cara dan niat yang
benar tanpa ada maksud politik yang tidak Islami.
Wallahua’lam
www.mykhilafah.com
No comments :
Post a Comment