Sunday, April 20, 2008




Di Luar Lingkaran: Pengaruh dan lobi Yahudi di AS


PILIHAN Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) sekali lagi akan banyak ditentukan oleh satu kaum yang kecil jumlahnya tetapi amat besar pengaruhnya: bangsa Yahudi. Bilangan mereka sama banyak dengan orang Islam di AS, tetapi orang Islam tidak punya suara dan tidak berupaya menjadi kumpulan pelobi dan pendesak di negara itu. Tiada siapa yang boleh mempertikaikan bagaimana kaum yang hanya terdiri daripada dua peratus rakyat AS boleh menjadi begitu kuat dan digeruni.
Hari ini ada kira-kira 10 juta orang Yahudi di seluruh dunia, enam juta di Israel, selebihnya bertaburan di 113 negara lain.

Tetapi berdasarkan kajian ke atas pendapatan penganut agama-agama di dunia, mereka mempunyai pendapatan perkapita paling tinggi – RM61,180. Penganut Kristianiti mencatatkan pendapatan perkapita RM31,127, Buddha RM12,612 dan orang Islam RM6,536. Secara perbandingan, pendapatan orang Islam hanya 11 peratus daripada pendapatan perkapita kaum Yahudi.

Orang Yahudi mahu mendakwa diri mereka orang yang terpilih (the chosen ones). Banyak orang yang mungkin tidak bersetuju dengan dakwaan ini. Kaum Yahudi bagaimanapun boleh mendakwa mereka menguasai hampir semua bidang kritikal yang membabitkan manusia – dari ekonomi hingga hiburan, dari pemikiran hingga sukan, dari sastera hingga media.

Alan Symons telah menulis buku The Jewish Contribution To The 20th Century yang menyenaraikan 1,000 orang Yahudi yang berpengaruh di dunia. Nama-nama itu bagaikan "Who’s Who" dalam sejarah tamadun abad ke-20. Symons tidak sahaja menggariskan tokoh ilmuwan, ahli ekonomi dan sastera serta budaya tetapi juga gangster terkenal seperti Bugsy Seigel dan Lois Buchalter, termasuk juga Michael Milken, peniaga "junk bond" yang menyebabkan beberapa institusi kewangan New York hampir muflis.

Cuba kita senaraikan beberapa nama tokoh Yahudi: Boris Pasternak, Joseph Brodsky, Albert Einstein, Herbert A Hauptman, Henry Kissinger, Milton Friedman, Alan Greenspan, Sigmund Freud, Ernest Gellner, Gary Kasparov, Peter Drucker, Art Buchwald, Steven Spielberg, Harrison Ford, Paul Newman, Carl Bernstein, Noam Chomsky, Alan Bloomfield, Bob Dylan, Catherine Graham, Rupert Murdoch dan Larry King. Ini nama-nama yang biasa kita dengar.

Berdasarkan kajian ke atas penerima Hadiah Nobel dari 1901 hingga 2002, seramai 127 daripada 687 penerimanya ialah kaum Yahudi, atau 18 peratus. Mereka adalah kaum yang paling banyak menerima anugerah itu.

Tentulah ada rahsia mengapa kaum ini begitu berpengaruh dan menguasai pelbagai disiplin ilmu. Imej Yahudi bagi kita ialah kekejaman rejim Yahudi di Israel yang menekan rakyat Palestin sejak sekian lama. Memang aneh enam juta orang Yahudi di tengah lebih 200 juta umat Arab tetapi umat Arab tidak boleh berbuat apa-apa. Malah, bukan itu sahaja, tindakan kejam rejim Tel Aviv ke atas rakyat Palestin tidak dapat dibuat apa-apa oleh 1.3 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Kekuatan Israel bukan tanpa sebab. Untuk menjawab mengapa AS semacam "menghalalkan" semua tindakan Israel ke atas Palestin, kita jangan lupa kaum Yahudi mempunyai kuasa lobi yang cukup kuat dan berpengaruh. Ambil saja American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) di AS, lobi yang sangat digeruni. Presiden Bush sendiri "dikelilingi" oleh beberapa Yahudi seperti Paul Wolfowitz, Elliot Adams, Douglas Feith, Dov Zekheim, Marc Grossman dan Richard Harris, semuanya mempunyai pengaruh besar ke atas dasar Bush mengenai Israel, Afghanistan dan Iraq.

Lebih penting lagi, AS seperti banyak negara di dunia "terhutang budi" pada pemodal, pelabur, pemilik bank dan institusi kewangan yang dikuasai oleh kelompok ini. Satu hakikat yang tidak boleh diperkecilkan ialah media perdana AS dimiliki dan dikuasai oleh mereka. Maka itu apabila orang bercakap tentang kebebasan media di AS, harus jangan dilupakan siapa di belakang media ini. Seorang pemerhati media terkemuka AS, AJ Liebling pernah menganggap kebebasan media sebagai satu falasi. "Freedom of the press belongs only to those who owns it," kata beliau. Siapa yang lumrahnya menguasai media di AS? Orang yang sebangsa dengan Liebling sendiri.

Kekuatan bangsa Yahudi juga dilihat pada cara mereka "melindungi" kaum mereka. Di AS, mana-mana ahli politik yang berani menegur pengaruh kaum ini akan menerima padahnya. Paul Findley pernah menulis buku They Dare to Speak Out: People and Institutions Confronting Israel's Lobby. Beliau patut tahu, beliau ahli Senat AS yang pernah menerima padahnya.

Malah, di mana-mana pun di dunia, sesiapa yang ditafsirkan sebagai "anti-Yahudi" akan menerima sasaran. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya perlu mengatakan "orang Yahudi kini menguasai dunia melalui proksi" dan beliau dikecam hebat. Mereka melupakan sebahagian besar ucapannya sewaktu merasmikan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-10 tahun lalu, yang secara jujur melihat kelemahan umat Islam sendiri di dunia hari ini.

Di AS, sastera arus perdana juga dikuasa oleh kaum Yahudi. Richard Kostelanetz pernah menulis buku The End of Intelligent Writing: Literary Politics in America yang mendedahkan bagaimana media, jurnal yang dihormati dan pengkritik bersekongkol untuk menonjolkan konsep "sastera bermutu" di AS (maksudnya sastera karyawan Yahudi).

Bukan rahsia lagi bahawa industri hiburan terutama filem di AS dikuasai oleh kelompok ini. Ini sejarah panjang sejak Hollywood bermula lagi dengan tokoh-tokoh penerbit seperti Lew Grade, David Selznick dan Irving Thalberg. Tradisi ini berterusan hingga hari ini dengan pengarah-pengarah seperti Woody Allen, Milos Forman, Sidney Lumet, Mel Brooks dan pelakon-pelakon terbilang seperti Peter Falk, Richard Dreyfuss, Dustin Hoffman, Kirk Douglas, Tony Curtis, Debra Winger dan banyak lagi.

Kaum Yahudi mempunyai senjata yang paling kuat – "Holocaust" – apa yang berlaku di Jerman dalam Perang Dunia Kedua apabila Adolph Hitler dalam usahanya untuk melahirkan kaum Aryan yang perkasa dan mengajar kaum Yahudi telah menyebabkan kematian lebih 6 juta kaum itu. "Dosa Eropah" ini dieksploit dengan cara yang cukup sistematik. Perkataan "anti-Semitism" (dalam konteks ini bermakna anti-Yahudi) akan dijadikan momok untuk menakut-nakutkan dan menghancurkan sesiapa yang dikatakan berkecenderungan sedemikian.

Apa yang berlaku dalam era Nazi di Jerman itu akan diperingatkan dalam bentuk muzium, juga menggunakan semula wahana yang ada, dari filem hingga lukisan. Filem-filem keluaran Hollywood akan memastikan "orang jahat" ialah pihak Nazi. Mana-mana filem yang menggambarkan watak orang Yahudi zaman itu selalunya akan meraih kemenangan oskar. Dua puluh peratus anugerah untuk lakonan dalam sejarah Hadiah Akademi diberikan kepada pelakon yang memainkan watak kaum Yahudi di bawah Nazi. Dua tahun lalu, Adrain Brody memenangi anugerah Pelakon Terbaik kerana memainkan watak Yahudi untuk filem The Pianist.

Malah, begitu hebatnya usaha untuk "mengingatkan" kekejaman Nazi ini hinggakan wujud "industri sokongan" mengenainya. Norman G Finkelstein, juga seorang Yahudi, menulis buku The Holocaust Industry: Reflections on the Exploitation of Jewish Suffering.

Sesiapa saja yang dikatakan pernah "bersubahat" dengan Nazi akan menerima padahnya. Seorang bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah menerima padahnya. Seorang penganjur aliran "Deconstruction" di AS, Paul de Mann dimalukan kerana beliau dikatakan pernah menulis rencana untuk sebuah penerbitan Nazi.

Siapapun yang menang pada pilihan raya Presiden AS kali ini, ia tidak akan mengubah dasar negara itu terhadap Israel. Calon Presiden sebelum ini, Al Gore banyak menggantungkan kekuatan pada undi Yahudi, malah memilih seorang Senator bangsa Yahudi sebagai Calon Naib Presiden. Calon Demokrat kali ini, John Kerry, isterinya seorang Yahudi. Bush sendiri menggantungkan kekuatannya pada "inner circle" beliau yang banyak merupakan orang Yahudi berpengaruh untuk mendapatkan sokongan kaum itu.

Lebih penting ditanyakan ialah apakah akan bertambah cengkaman pengaruh Yahudi dalam pentadbiran negara itu dan apakah akibatnya pada dasar AS terhadap Palestin dan negara-negara Islam lainnya?

No comments :

Post a Comment