
Oleh RAMLI ABDUL SAMAD
PLANET Zuhal, salah sebuah planet bergas yang besar dalam sistem tata suria kita dan kelihatan indah kerana mempunyai cecincin yang mengelilingi planet itu. Bagaimanapun, para astronomi lebih berminat mengkaji Zuhal kerana faktor bulannya yang digelar Titan.
Cecincin pada Zuhal terdiri daripada gabungan debu dan ketulan ais yang berukuran dalam lingkungan 8 meter tebal.
Terdapat tujuh cecincin dengan diameter 270,000 kilometer (km) dan setebal 30 meter. Cecincin atau gelungnya kelihatan indah kerana disimbah oleh cahaya matahari.
Galileo adalah orang pertama yang dapat melihat cecincin Zuhal melalui teleskop pada tahun 1610. Zuhal adalah dalam kategori planet terjauh yang boleh dilihat tanpa teleskop.
Zuhal sama seperti Musytari iaitu sebuah planet besar mengandungi banyak gas hidrogen atau helium. Kedua-dua planet ini bukannya pepejal seperti planet Bumi, Marikh dan Zuhrah.
Planet ini sentiasa dikaji dari semasa ke semasa oleh manusia. Pesawat angkasa Pioneer 11 pada tahun 1979 pernah membuat kajian terhadapnya dan diikuti pula oleh pesawat angkasa Voyager 1 & 2 pada tahun 1980/81.
Pada tahun 1982, dua pesawat iaitu Cassini dan Huygens telah diluncurkan menuju Zuhal.
Selepas tujuh tahun terbang di alam maya sistem suria tanpa sebarang masalah teknikal, pesawat Cassini dengan muatan 2,125 kilogram (kg) disertai bersama robot penyelidik Huygens seberat 320 kg, akhirnya telah tiba di orbit Zuhal pada 30 Jun lalu.
Kali ini pesawat angkasa Cassini yang membawa pesawat Huygens akan meneruskan kajian khususnya ke atas daya magnetik planet itu dan juga terhadap Titan, iaitu salah satu daripada 31 bulan di planet Zuhal.
Pesawat Cassini dan Huygens dilengkapi dengan instrumen-instrumen pengesan jarak jauh untuk membolehkan ia menembus kabut atmosfera Titan dan merakamkan imej permukaannya.
Instrumen khusus akan mengumpulkan data mengenai isi kandungan permukaannya, sementara radar akan digunakan untuk memetakan permukaan bulan itu.
Pesawat Cassini dan Huygens juga telah menemukan dua bulan baru yang mengelilingi planet Zuhal, diberi nama S/2004 S1 dan S/2004 S2.
Bulan-bulan itu berada pada jarak lebih kurang 194,000 dan 211,000 km dari pusat planet. Justeru itu, Zuhal sekarang diketahui memiliki 33 bulan.
Jarak pesawat Cassini yang telah dilalui setakat ini adalah lebih daripada 3.5 bilion km.
Sebelum ini, pesawat itu diterbangkan dulu ke arah planet berhampiran Matahari untuk mengambil kesempatan bantuan tolakan graviti dari Bumi dan Zuhrah.
Projek ini adalah kerjasama antara NASA dan Agensi Angkasa Eropah yang menelan belanja RM15 bilion.
Cassini dilengkapi dengan 18 instrumen dan kamera saintifik. Gabungan Cassini dan Huygens merupakan peralatan yang paling canggih pernah dibuat manusia untuk meneroka Zuhal.
Titan, walaupun sebuah bulan tetapi saiznya lebih besar daripada planet Utarid atau Pluto dan menyimpan seribu rahsia untuk dicungkil.
Ia berstatus sebagai bulan tetapi bersaiz seperti sebuah planet. Titan mempunyai lingkungan yang boleh mendukung kehidupan, meskipun suhunya boleh mencapai negatif 180 darjah Celsius.
Terdapat unsur organik atau sebatian kimia dengan bahan karbon di bulan Titan.
Apa yang menarik, senario ciri-ciri kimia yang terdapat pada Titan dikatakan hampir serupa dengan apa yang pernah Bumi miliki sebelum wujudnya kehidupan lebih kurang 4.6 bilion tahun yang lampau.
Bagaimanapun, Titan sukar diamati kerana atmosferanya bagaikan satu kali setengah lebih padat ditutup berbanding dengan atmosfera Bumi.
Ia diselimuti kabut pekat atau awan metana tebal dan para saintis percaya adanya kegiatan geologi di beberapa bahagian Titan.
Bahagian bawah lapisan kabut di Titan berada beberapa ratus kilometer di atas permukaan bulan, dan tebalnya sekitar 120 kilometer. Pesawat Cassini melayang pada jarak 350,000 km di atas permukaan bulan Titan.
Bagi tujuan mengkaji Titan, pesawat Huygens, milik Agensi Angkasa Eropah yang berdiameter 3 meter dan berat 317 kg akan mengkaji atmosfera Titan.
Pada 25 Disember ini, ia akan dipisah daripada Cassini dan diluncurkan ke orbit Titan. Jika tidak berhadapan dengan masalah, ia akan terus mengirim imej-imej bulan ini.
Pada 15 Januari 2005 nanti, pesawat Huygens yang dilekatkan pada bahagian belakang Cassini akan dilepaskan dengan payung terjun ke atmosfera awan tebal sebelum mendarat ke permukaan Titan.
Terdapat kemungkinan yang Huygens juga boleh tenggelam ke dalam lautan cairan metana yang meliputi Titan. Kalau tragedi itu berlaku, maka proses penyelidikan akan terbantut.
Setakat ini, data-data yang diperoleh mengarah kepada simpulan bahawa Titan, bulan misteri Zuhal mungkin ``hidup'' secara geologi kerana terdapat gerakan zat air pada permukaannya.
Bentuk-bentuk permukaannya bagaikan danau bulat, terdapat jalur sempit yang panjang dan wilayah dengan danau metana dan metana cair.
Maka para saintis turut berteori mengenai permukaan Titan berdasarkan atmosfera hidrokarbon yang menyelubunginya.
Mereka menduga laut atau danau metana boleh terbentuk kerana proses persenyawaan organik yang jatuh dari atmosfera boleh terkumpul ke permukaan dan menjadi genangan besar.
Terdapat juga garis atmosfera pada wilayah khutub utara Titan, dan jalur memanjang dari timur ke barat di permukaannya. Fenomena ini diyakini terjadi akibat pergerakan benda yang disebabkan oleh angin, ais atau benda cair.
Foto-foto yang diambil menggunakan penapis yang peka terhadap spektrum ultraungu. Lapisan kabut itu dianalisis menggunakan warna ungu agar mudah terlihat.
Sehingga saat ini, Cassini belum lagi membuka rahsia Titan sepenuhnya, namun para ilmiah dalam penyelidikan yakin bahawa sesuatu penemuan baru akan muncul yang bakal memberi pegetahuan tambahan kepada ilmu astronomi.
- RAMLI ABDUL SAMAD ialah Pustakawan di Universiti Sains Malaysia.
No comments :
Post a Comment