Sunday, April 20, 2008



Abu Talib terima azab paling ringan

DARIPADA Ibnu Abbas, katanya, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "
Seringan-ringan azab penduduk neraka adalah azab yang dideritai oleh
Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya
menggelegak."

Selama sembilan tahun selepas pelantikan Nabi Muhammad sebagai Pesuruh
Allah, Rasulullah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di
sekitar kota Makkah.

Segelintir manusia saja yang memeluk agama Islam, sementara yang
lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang
usaha Baginda.

Abu Talib adalah seorang yang baik budi pekertinya dan jujur. Beliau
juga mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya apabila menemui
atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup.

Beliau yang memelihara Nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib.
Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya itu daripada ancaman
musuh dakwah Baginda. Namun pada saat akhir kematiannya, Abu Talib
tidak memeluk agama Islam.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib,
dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya, sedangkan ketika itu
ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu
Talib mengucapkan "Laailaah illallaah", namun Abu Jahal dan Abdullah
memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib.

Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak
dalam keadaan beriman. Lalu, Rasulullah bersabda : "Demi Allah aku
akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang.
"

Lalu, turun ayat 113 dan 114, surah Taubah bermaksud : "Tiadalah
sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang yang beriman meminta ampun
kepada Allah bagi orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum
kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang musyrik itu adalah
penghuni neraka Jahanam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk
bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah
diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa
bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri
daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut
hatinya lagi penyantun."

Mendoakan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang
dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk
daripada kaumnya yang musyrik.

Baginda berdoa bermaksud : "Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana
mereka tidak mengetahui."

Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya
dikabulkan oleh Allah. Namun, mendoakan orang kafir yang telah
meninggal dunia dan diketahui mati dalam keadaan kafir, hukumnya haram
seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.





Dipetik dari Berita HArian Online

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Agama/20041122225141/
Article/

No comments :

Post a Comment