Thursday, April 17, 2008



Pencipta virus Sasser jadi pengatur cara keselamatan

SEORANG remaja Jerman, Sven Jaschan, 18, pencipta virus cecacing
Sasser yang menjangkiti berjuta komputer seluruh dunia bakal menjadi
pengatur cara perisian keselamatan di sebuah syarikat keselamatan
komputer di Jerman.

Jaschan yang juga dikatakan mencipta virus Netsky serta
bertanggungjawab terhadap 70 peratus keseluruhan jangkitan virus
komputer tahun ini diambil oleh Securepoint dan sedang dilatih untuk
menghasilkan firewall, yang menyekat fail disyaki memasuki sistem
komputer.

Pengarah Securepoint, Lutz Hausmann berkata, dalam temu duga bagi
jawatan itu, remaja berkenaan menyedari kesan tindakannya itu dan dia
harus diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya.

Jaschan didakwa bersabit dengan sabotaj komputer, memanipulasikan
data dan mengganggu sistem awam melalui cecacing Sasser.

Cecacing Sasser menyerang 1 Mei dan kurang seminggu menjangkiti kira-
kira 18 juta komputer di seluruh dunia sehingga menyebabkan
sesetengah perniagaan terpaksa ditutup sementara bagi membersihkan
sistem mereka daripada cecacing berkenaan.

Bagaimanapun, latihan perisian untuk Jaschan terpaksa ditangguhkan
bagi tempoh beberapa bulan atau tahun kerana remaja berkenaan kini
dalam proses perbicaraan setelah mengakui bertanggung jawab
melepaskan Sasser dan dia mungkin di penjara sehingga lima tahun
sekiranya didapati bersalah.

Beberapa profesional melahirkan rasa tidak senang terhadap kerja baru
Jaschan walaupun mereka melahirkan rasa gembira dia diberikan
pengawasan selain menyumbang kepada perkembangan industri teknologi
maklumat (IT).

Perundingan Kanan Teknologi Sophos, Graham Cluley berkata,
Securepoint dilihat mempunyai cabaran menarik pada masa depan bagi
meyakinkan media dan pelanggannya dengan mengambil seorang `pesalah'
dalam organisasinya.

"Saya lebih suka Jaschan menyertai sektor IT sebagai penulis
permainan komputer atau pereka web bukannya profesional sistem
keselamatan," katanya.

Seorang penulis perisian berkata, sesebuah organisasi itu seharusnya
bimbang sekiranya seorang penulis virus menyertai kumpulan mereka

No comments :

Post a Comment