Peristiwa besar dalam Al-Quran
Oleh Nasrullah Rahim
am@hmetro.com.my
APABILA ulama Mesir, Dr Zaghlul Najjar, tampil menerangkan kejadian
runtuhan World Trade Center (WTC), New York pada 11 September 2001
sudah dibayangkan al-Quran, penduduk dunia, termasuk umat Islam
sendiri berasa takjub.
Ini kerana tiada siapa pun termasuk perisik Amerika Syarikat sendiri
gagal menjangka pesawat akan digunakan sebagai `senjata' bagi
meruntuhkan bangunan lambang kemegahan negara berkenaan.
Mengikut kajian Dr Zaghlul, runtuhan WTC turut mencatatkan sejarah
hitam bagi Amerika seolah-olah digambarkan menerusi ayat ke 110
Surah at-Taubah dalam al-Quran.
Ayat itu bermaksud: "Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu
sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila
hati mereka itu sudah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana."
Kajian mendapati beberapa fakta mengenai kejadian runtuhan WTC
mempunyai kaitan dengan ayat berkenaan antaranya bangunan WTC
setinggi 110 tingkat dan peristiwa itu berlaku pada bulan kesembilan
Masihi (September) manakala ayat al-Quran berkenaan adalah ayat ke-
110 dari surah kesembilan (at-Taubah).
Persamaan lain, ia berlaku pada 11 haribulan manakala ayat berkenaan
berada dalam juzuk ke-11 dan peristiwa berlaku pada 2001 manakala
huruf terakhir ayat adalah huruf ke- 2001.
Penjelasan Dr Zaghlul itu meyakinkan umat Islam bahawa isi kandungan
al-Quran benar-benar memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan
manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam.
Hal itu diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran
yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama).
Ayat lain daripada surah al-Hijr, juga ayat pertama
bermaksud: "(Surah) ini adalah (sebahagian daripada) ayat-ayat al-
Kitab (yang sempurna) iaitu (ayat-ayat) al-Quran yang memberi
penjelasan."
Malah, misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran membuktikan kitab
suci dan mukjizat terbesar dikurniakan Allah s.w.t kepada Nabi
Muhammad s.a.w itu bukanlah rekaan manusia.
Sebaliknya, penemuan itu seharusnya menambahkan keimanan umat Islam
bahawa ayat al-Quran datang daripada Allah s.w.t sepertimana
firmannya dalam surah as-Syu'araa', ayat ke-192: "Dan sesungguhnya
al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam."
Ayat lain menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan Allah menerusi ayat
pertama dari surah al-Qadr iaitu: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-
Quran) ini pada malam Lailatul Qadar."
Peristiwa runtuhan bangunan WTC tiga tahun lalu bukanlah gambaran
pertama al-Quran mengenai sesuatu peristiwa yang bakal terjadi pada
masa akan datang.
Sebaliknya, kitab suci itu dikatakan sudah menggambarkan mengenai
kebangkitan kembali bangsa Rumawi selepas dikalahkan bangsa Persia
dalam peperangan pada tahun 614.
Selepas berakhirnya peperangan berkenaan, turunlah ayat pertama
hingga keempat dari surah ar-Rum menyatakan bangsa Rumawi akan
kembali menang dalam tempoh beberapa tahun.
Kemenangan bangsa Rumawi terhadap bangsa Persia itu kemudiannya
benar-benar terjadi kira-kira lapan tahun kemudian seperti yang
diramalkan al-Quran.
Selain gambaran mengenai peristiwa yang bakal berlaku pada masa akan
datang, kajian isi kandungan al-Quran juga menunjukkan yang kitab
suci itu mengandungi pelbagai ilmu yang melampaui zaman ia
diturunkan.
Ini kerana pada zaman al-Quran diturunkan iaitu pada abad keenam,
masih belum ada kajian sains mengenai alam semula jadi yang
dilakukan menyebabkan masyarakat masih belum mengetahui mengenai
ilmu sains dan teknologi.
Kajian mengenai pelbagai rahsia alam bermula kira-kira abad ke-19
dan ketika itulah didapati bahawa segala fakta sains yang ditemui
adalah selaras dengan maklumat asas daripada al-Quran.
Antara fakta sains yang ditemui dan terdapat dalam al-Quran adalah
semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi
bergerak (An-Naml: 88), pokok menghasilkan bahan bakar (Yaasiin:
80), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61) dan semakin tinggi
semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125).
Fakta lain adalah semua makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49),
proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid:
25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).
Selain itu, kajian lain yang dijalankan bagi mencari keajaiban al-
Quran mendapati bahawa jumlah sesetengah perkataan berbahasa Arab di
dalam kitab itu adalah saling berlawanan.
Antara perkataan berkenaan adalah; dunia yang disebut sebanyak 115
kali manakala akhirat yang turut disebut sebanyak 115 kali, malaikat
dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan
kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali) serta lelaki
dan perempuan (24 kali).
Perkataan lain adalah ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan
memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur
(75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan
berkat (32 kali).
Golongan muslimin dan jihad (41 kali), orang yang sesat dan
meninggal dunia (17 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali),
keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan
sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di
khalayak ramai dan berdakwah (18 kali).
Jumlah perkataan lain dianggap ajaib dijumpai adalah solat (lima
kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan
(13 kali).
Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus
bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang terdapat
di dunia ketika ini iaitu 71.111 peratus dan 28.889 peratus.
Misteri dan rahsia yang terkandung dalam al-Quran seharusnya
meyakinkan umat Islam bahawa agama Islam adalah agama yang benar
selaras dengan rukun iman ketiga iaitu beriman terhadap kitab-kitab
Allah.
No comments :
Post a Comment