Sunday, May 18, 2008

Jelapang padi baru negara

Pembukaan kawasan penanaman padi yang baru sebagai langkah meningkatkan pengeluaran padi negara bagi menghadapi masalah krisis bekalan makanan.

Sarawak dengan keluasan tanah 12.3 juta hektar kini bersedia untuk menjadi pengeluar utama padi negara dengan melakukan transformasi pertanian padi secara menyeluruh.

Daripada keluasan 2.2 juta hektar tanah yang sesuai untuk pertanian, Sarawak telah mengenal pasti kira-kira 58,000 hektar di bahagian Samarahan, Sri Aman, Sarikei dan Mukah untuk tanaman padi secara komersial.

"Setelah lebih 20 tahun saya memerhati sektor tanaman padi di Sarawak, saya lihat tidak banyak perubahan berlaku, sebab itu kita perlu mengubah cara penanaman tradisional kepada cara yang lebih moden seperti melalui tanaman padi secara estet," kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika berucap pada majlis penutupan program Bicara Tani baru-baru ini.

Ketika ini Sarawak telah membangunkan kira-kira satu juta hektar tanah dengan penanaman sawit secara estet dan ia terbukti berjaya memberi keuntungan kepada pemilik tanah dan pengusaha ladang.

Menurut beliau, kejayaan tanaman sawit secara estet seharusnya menjadi model kepada langkah penanaman padi secara komersial pada masa akan datang.

Sektor pertanian ketika ini, menurut Taib, menyumbang 11.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.

Sarawak mempunyai tenaga kerja yang dinamik iaitu daripada 2.3 juta penduduk, 70 peratus ataupun 1.4 juta merupakan mereka yang berumur bawah 40 tahun.

Hampir 40 peratus daripada penduduk di negeri ini bekerja dalam bidang pertanian (termasuk perhutanan) dengan lingkungan umur mereka sekitar 15 tahun hingga 64 tahun.

"Kita mahu menarik lebih ramai generasi muda dalam bidang pertanian, sebab itu kita perlu tukar cara pertanian dengan menambah lebih banyak kemahiran pengurusan estet kepada anak-anak muda," katanya.

Penanaman padi, tambah beliau, boleh diusahakan secara mini estet yang turut memerlukan penggunaan cara pertanian yang lebih moden dan maju.

Dengan adanya sokongan daripada kerajaan pusat, Sarawak menyambut baik langkah kerajaan untuk menjadikan Sarawak satu daripada jelapang padi utama negara.

Peruntukkan sebanyak RM50 juta daripada kerajaan pusat untuk tujuan pengeluaran padi di Tulai di kawasan Bintangor, Sarikei, merupakan langkah permulaan ke arah meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak.

Setakat ini kawasan Tulai merupakan antara pusat penanaman padi utama di wilayah tengah Sarawak selain penanaman padi di bahagian Sri Aman dan kawasan Paloh di Mukah.

Dalam pada itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, masalah kekurangan tanah untuk tanaman padi di Semenanjung Malaysia perlu diatasi segera untuk memastikan negara tidak terus bergantung kepada import padi pada masa akan datang.

Katanya, Sarawak merupakan antara negeri yang berpotensi untuk menjadi sebuah daripada jelapang padi utama negara pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan, pembukaan kawasan penanaman padi yang baru selain mengekalkan kawasan tanaman padi yang sedia ada merupakan antara beberapa langkah jangka pendek dan langkah jangka panjang yang akan dilaksanakan oleh kementerian untuk meningkatkan pengeluaran padi negara.

"Setelah membuat lawatan ke beberapa kawasan penanaman padi di Sarawak, saya yakin Sarawak mempunyai banyak kelebihan khasnya dari segi jumlah tanah yang berpotensi untuk tujuan penanaman padi," katanya.

BERANEKA jenis beras boleh didapati di Sarawak seperti beras hitam wangi, beras bukit dan beras pulut.

Menurut beliau, tindakan kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pertanian bertepatan sekali memandangkan ketika ini dunia menghadapi masalah krisis bekalan makanan.

Katanya, pertanian akan menjadi sektor ekonomi utama negara selain sektor perkhidmatan, perindustrian, pembuatan dan pelancongan.

Kementerian di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah diperuntukkan siling pembangunan sejumlah RM7.12 bilion dan ia termasuk peruntukan pembangunan pertanian dan industri asas tani di Sarawak.

Mustapa berkata, Sarawak telah diperuntukkan sebanyak RM823 juta untuk pembangunan 274 projek pertanian termasuk untuk projek pembangunan pengairan dan saliran, program mempelbagai pertanian, pembangunan industri padi, sagu, kelapa, lada, buah-buahan selain untuk penternakan, akuakultur, pasaran produk pertanian serta pembangunan teknologi dan penyelidikan.

Negara ketika ini hanya mampu mengeluarkan 73 peratus beras dan dengan adanya program pembangunan penanaman padi di Sarawak diharap dapat membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan beras sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada import beras dari negara luar.

Malaysia kini mengimport 650,000 hingga 800,000 tan metrik beras setahun dan pengeluaran semasa padi negara dijangka kekal pada tahap 1.6 juta tan metrik tahun ini. - Bernama..kosmo


No comments :

Post a Comment