Sunday, May 25, 2008


Penguasaan kelab gergasi Eropah



BERAKHIRNYA kempen Liga Juara-Juara Khamis lalu, bermakna berakhirlah sudah saingan bola sepak bagi kelab-kelab Eropah musim 2007-2008.Di atas kertas, Manchester United boleh berbangga dengan status selaku kelab No. 1 Eropah ekoran kejayaan membawa pulang trofi berprestij, Liga Juara-Juara ke Old Trafford.

Kejayaan skuad Red Devils itu juga bermakna berakhirnya era kegemilangan kelab Itali, AC Milan yang sebelum itu megah menjulang trofi Eropah dengan menewaskan Liverpool.Sesuatu yang pasti, musim 2007-2008 ini seakan-akan memberi tuah kepada kelab-kelab dari England dengan kejayaan United dan Chelsea mara ke final Liga Juara-Juara selain kemampuan Liverpool berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Begitupun, secara keseluruhannya, rangkuman bola sepak Eropah musim ini tidak menyaksikan banyak kejutan melainkan pertembungan sesama sendiri dua kelab dari England di pentas final Liga Juara-Juara.Di peringkat saingan domestik, tiga liga paling popular iaitu Liga Perdana England, Liga Sepanyol dan Serie A memperlihatkan penguasaan kelab yang sama seperti musim sebelumnya.

Dalam saingan Liga Perdana England, United terus membuktikan penguasaan mereka apabila berjaya mempertahankan gelaran liga buat tahun kedua berturut-turut.Lebih menarik lagi, kejayaan meraih gelaran liga ke-17 itu hadir selepas United mengetepikan musuh tradisi, Chelsea dengan kelebihan dua mata.

"Kami memang berhak memenangi gelaran ini," jelas Ronaldo yang muncul penjaring terbanyak liga musim ini dengan 31 gol.

"Semuanya cukup jelas kerana kami telah bekerja keras sejak dari awal musim untuk mempamerkan satu permainan terbaik."

Sementara itu, laluan mudah ditempuh Real Madrid untuk membolehkan mereka mempertahankan gelaran Liga Sepanyol, gelaran ke-31 dalam sejarah kelab itu.
Skuad kendalian Bernd Schuster awal-awal lagi diletakkan selaku pilihan juara ekoran prestasi tidak menentu beberapa pesaingnya termasuklah Barcelona.Kehebatan Real dibuktikan sepenuhnya apabila mereka mengesahkan kejuaraan ketika saingan Liga Sepanyol masih berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk memenangi gelaran itu tetapi perbezaan mata ini sesuatu yang mengejutkan," jelas jurulatih Real, Schuster.

"Kami memperoleh banyak mata dan tidak ada sesiapa yang menjangkakan."

Selepas melalui 38 perlawanan, Real unggul dengan 85 mata, lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Villarreal diikuti Barcelona dengan 67 mata.Dalam pada itu, kelab gergasi Itali, Inter Milan berhempas pulas sehingga ke perlawanan terakhir sebelum mengesahkan gelaran hatrik mereka pada saingan Serie A.

Begitupun, kredit harus diberikan kepada Roma yang masih mampu memberi tekanan kepada Inter sehingga ke perlawanan penutup musim selepas pada satu ketika kedua-dua pasukan dibezakan lebih 10 mata.Sementara itu, beberapa kelab elit lain turut berjaya mempertahankan gelaran liga domestik. Antaranya ialah Celtic yang unggul dalam kempen Liga Perdana Scotland buat tahun ketiga berturut-turut dan Porto yang berjaya mencatat kejuaraan hatrik dalam Liga Portugal



Kosmo...

No comments :

Post a Comment