Thursday, May 1, 2008

Pewarna rambut jadi racun bunuh diri di India

LUCKNOW 11 April - Pihak berkuasa di utara India mengharamkan penjualan pewarna rambut jenis murah selepas petani yang banyak berhutang di wilayah ini meminumnya untuk membunuh diri.

Seorang pegawai kanan, Rajiv Agarwal berkata, sekurang-kurangnya 11 petani mati setelah minum pewarna rambut di kawasan yang dilanda kemarau di negeri Uttar Pradesh sejak tiga bulan lalu.

Dua pertiga daripada 1.1 bilion penduduk India bergantung kepada pertanian dan kebanyakan mereka tidak menikmati ledakan ekonomi negara ini.

Beberapa bahagian di barat dan selatan India menyaksikan keadaan ekonomi yang teruk sehingga mencetuskan ribuan kes bunuh diri sejak beberapa tahun lalu.

Pengetua Kolej Perubatan Maharani Lakshmi Bai, Ganesh Kumar menjelaskan, pewarna rambut berkenaan mampu menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

 "Sehubungan itu, kami mengharamkan penjualan pewarna rambut buatan tempatan di Uttar Pradesh," kata Agarwal.

Daerah Bundelkhand di negeri itu dilanda kemarau teruk kerana tidak mengalami hujan sejak empat tahun lalu.

"Tanah pertanian menjadi tandus dan ramai yang mula berhijrah ke bandar besar terutamanya anak-anak muda, yang tinggal hanya wanita dan orang tua saja," tambah Agarwal lagi.

 Kerajaan persekutuan India pada bulan lalu telah mengumumkan rancangan untuk memansuhkan hutang petani yang mempunyai tanah dengan keluasan kurang daripada dua hektar pada dan sebelum 31 Disember lalu.

Tindakan tersebut dijangka memberi manfaat kepada empat juta petani.

Petani miskin kerap meminjam wang dari bank atau ceti untuk membeli benih dan perbelanjaan keluarga.

Sebilangan mereka membunuh diri selepas gagal membayar pinjaman kerana tiada hasil tuaian diperoleh disebabkan tanaman tidak menjadi.

- AP

No comments :

Post a Comment