
Oleh Hafizah Iszahanid
fiza@bharian.com.my
FAUZIAH Fadzil, 44 seorang pengusaha taska. Ketika remajanya, dia aktif bermain hoki dan pernah menjalani pembedahan meniskus. Bagaimanapun, selepas berpuluh tahun dia mengalami masalah sakit lutut yang berpanjangan kerana kecederaan rawan.
"Saya sukar berjalan sebab kepala lutut seakan bergesel dan kadangkala terpaksa berhenti berjalan dengan tiba-tiba kerana tidak tahan menanggung sakit," katanya.
Dengan usia yang masih muda, Fauziah sukar membayangkan dia tidak boleh lagi berjalan. Apatah lagi jika perlu membuat prosedur pembedahan penggantian lutut. Prosedur itu hanya bertahan selama 10 hingga 15 tahun dan selalunya dilakukan mereka yang berusia 60 tahun ke atas saja.
"Saya mendapat tahu mengenai penggunaan sel stem dan mengambil keputusan untuk mencubanya selepas hampir tidak boleh berjalan dalam masa tiga ke empat bulan. Saya tahu prosedur ini baru tetapi bertekad mencubanya," katanya.
Selepas menerima lima kali suntikan sel stem, Fauziah sudah boleh berjalan secara normal malah hasil imbasan mendapati, kawasan yang pernah mengalami kecederaan rawan ditumbuhi rawan baru.
Rawatan hasil penyelidikan Pakar Pembedahan Ortopedik dari Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) Dr Saw Khay Yong dan Pakar Ortopedik Jabatan Ortopedik dan Pembedahan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Paisal Hussin itu, sudah menampakkan kejayaan sejak diperkenalkan kepada 50 pesakit dua tahun lalu.
Dua pakar Malaysia temui teknik terbaru rawat kecederaan lutut
PERNAHKAH anda terfikir, masalah kemerosotan rawan di sendi lutut yang anda alami boleh pulih dengan teknik 'menumbuhkan' semula rawan yang rosak atau disembuhkan tanpa perlu menjalani pembedahan berulang kali?
Semula kemungkinan itu kini menjadi kenyataan menerusi penyelidikan yang dirintis Pakar Pembedahan Ortopedik dari Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) Dr Saw Khay Yong dan Pakar Ortopedik Jabatan Ortopedik dan Pembedahan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Paisal Hussin.
Penyelidikan dengan bantuan StemLife Therapeutics itu dimulakan dengan ujian ke atas haiwan. Ia menggunakan sel stem yang diambil pada haiwan itu untuk memulihkan kecederaan sendi sejak dua tahun lalu. Kajian itu berjaya dan segala bukti, pertumbuhan semula rawan didokumentasikan dan dimulakan kepada kira-kira 50 pesakit.
BENTUK sel stem. |
Kecederaan rawan pada lutut memang perkara biasa. Rawan adalah tisu putih nipis dan lembut yang membalut hujung tulang sendi. Dengan sifatnya sebagai cecair pekat yang kenyal, ia bertindak sebagai mekanisma pelincir dan membantu kelancaran pergerakan sendi. Ia juga bertindak sebagai penyerap kejutan.
Bagaimanapun, kecederaan dan kemerosotan pada rawan boleh berlaku kerana faktor penuaan. Bagaimanapun, ada banyak faktor lain yang boleh menyebabkan kemerosotan rawan. Kemerosotan rawan di lutut selalunya dikaitkan dengan kecederaan pada lutut sama ada ligamen atau meniskus.
Tidak terhad kepada golongan berusia, masalah kemerosotan rawan juga berlaku pada ahli sukan dan suri rumah. Antara 25 hingga 30 peratus mereka yang pernah menjalani pembedahan lutut akan mengalami masalah ini.
Selalunya keadaan ini sangat sukar dirawat dan hasilnya juga tidak memuaskan. Ini kerana rawan berada pada struktur yang tiada bekalan darah (avascular). Justeru, proses penyembuhan secara spontan memang sangat mustahil.
Penemuan terbaru dalam merawat masalah kecederaan rawan memberi pilihan lebih baik kepada pesakit. Ia dimulakan dengan pengambilan sel stem daripada pesakit itu sendiri. Kemudian, kawasan rawan yang rosak ditebuk bagi menghasilkan pendarahan di kawasan tulang. Teknik itu menyebabkan darah beku terbentuk.
Seminggu kemudian, beberapa siri suntikan yang mengandungi sel stem dan asid bagi menstimulasi penumbuhan rawan dibuat. Setiap pesakit memerlukan lima kali suntikan dengan setiap suntikan mengandungi sejumlah 2.5 mililiter sel stem. Suntikan itu pula hanya dibuat di klinik pesakit luar.
Daripada penyelidikan, Dr Saw dan Dr Paisal berjaya membuktikan tulang rawan boleh tumbuh semula. Kelebihannya berbanding prosedur sebelum ini adalah ia hanya membabitkan satu pembedahan saja, lebih murah dan prosedur itu senang dibuat dan membabitkan pembedahan invansif yang minimum.
Rawatan yang menggunakan sel stem untuk menjana pertumbuhan rawan itu berpotensi untuk merawat banyak kecederaan sukan manakala bagi pesakit yang mengalami kemerosotan rawan disebabkan penuaan, prosedur ini memberi pilihan terbaru selain pembedahan penggantian lutut.
Sel stem seperti yang diketahui memiliki keunikan tersendiri kerana keupayaannya menjadi apa saja jenis sel dan tisu dalam tubuh. Justeru, ia membolehkan rawan membentuk di kawasan yang rosak. Ia membekalkan penggunaan secara semula jadi sendi tanpa memerlukan implan.
INFO: Kemerosotan rawan sebelum ini dibuat dengan empat teknik
Kes:
PEMAIN hoki negara, Zulkifli Mat Rejab, 23, mengalami kecederaan pada ligamen anterior krusat dan meniskus ketika beraksi. Rawannya tercedera, dia sukar berjalan dan terpaksa berehat dari bermain hoki.
"Saya hanya memikirkan untuk sembuh dan dapat bermain kembali. Saya memilih menggunakan prosedur menumbuhkan semula rawan. Alhamdulillah, saya sudah boleh berjalan dan insya-Allah boleh bermain semula," katanya.
No comments :
Post a Comment